Selamat berkunjung

Selamat datang ke halaman blog Cikgu Yati

About

Sukatan Pelajaran BM



PUSAT PERKEMBANGAN KURIKULUM
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
SUKATAN PELAJARAN
KURIKULUM BERSEPADU
SEKOLAH RENDAH

SUKATAN PELAJARAN BAHASA
MELAYU

RUKUN NEGARA

BAHAWASANYA negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak; membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden. MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut :

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN


FALSAFAH PENDIDIKAN
KEBANGSAAN

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat , dan negara.

Kata Pengantar
Kurikulum persekolahan kebangsaan mendukung hasrat mulia negara bagi menyediakan pendidikan bertaraf dunia kepada generasi masa kini dan akan datang. Penyemakan kurikulum bertujuan menyepadukan elemen terkini dalam pendidikan, memenuhi semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan menyediakan murid untuk menghadapi cabaran pendidikan pada abad 21. Kurikulum yang disemak semula memberikan penekanan kepada nilai murni dan semangat patriotik bagi menyedarkan murid akan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara maju dan masyarakat berilmu. Murid dididik untuk berfikir, berilmu pengetahuan luas, beretika tinggi, bijaksana, serta dapat menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara berkesan. Diharapkan kurikulum ini dapat melahirkan murid yang berkeyakinan dan tabah mengatasi segala rintangan dan cabaran dalam kehidupan. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar utama, dan merupakan mata pelajaran teras yang wajib dipelajari di peringkat
sekolah rendah. Mata pelajaran ini bertujuan melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi selaras dengan peranannya sebagai bahasa ilmu. Kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah merangkumi penggunaan bahasa yang menekankan kemahiran bahasa berteraskan bahasa Melayu baku. Kementerian Pendidikan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih
kepada setiap individu dan institusi atas sumbangan kepakaran, masa, dan tenaga sehingga terhasilnya sukatan pelajaran ini.

PENDAHULUAN
Selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996, Bahasa Melayu ialah mata pelajaran teras di semua sekolah rendah dan menengah. Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan rakyat Malaysia. Pendidikan Bahasa Melayu berhasrat membina rasa bangga terhadap bahasa yang mencerminkan akal budi dan pemikiran rakyat, juga berperanan sebagai
pemangkin kepada semangat cinta akan tanah air yang dikongsi bersama oleh semua rakyat dalam satu wawasan. Pendidikan Bahasa Melayu di peringkat rendah juga bertujuan mewujudkan asas semangat kewarganegaraan . Kurikulum Bahasa Melayu digubal bertujuan untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani. Kurikulum Bahasa Melayu menyediakan murid untuk menguasai kecekapan berbahasa dan
berkomunikasi dan dapat menggunakan tatabahasa secara betul dan tepat. Selain itu,murid mampu mengungkapkan ilmu pengetahuan daripada mata pelajaran yang lain di samping mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah memberikan tumpuan kepada kemahiran bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca, dan Kemahiran Menulis. Kemahiran bahasa ini membolehkan murid menggunakan bahasa Melayu secara berkesan dalam
kehidupan harian dan sebagai bahasa ilmu untuk pembelajaran seumur hidup bagi perhubungan sosial, pemerolehan ilmu serta bagi tujuan rekreasi. Sukatan pelajaran ini juga memberikan pertimbangan kepada pelbagai gaya pembelajaran, minat, dan kecerdasan yang berbeza di kalangan murid. Aktiviti kokurikulum Bahasa Melayu yang dijalankan di luar waktu sekolah adalah penting sebagai sokongan bagi memantapkan kemahiran berbahasa
murid. Sukatan Pelajaran memberikan gambaran menyeluruh tentang kurikulum Bahasa Melayu. Sukatan Pelajaran ini mengandung matlamat, objektif, dan organisasi kandungan. Organisasi kandungan merangkumi Kemahiran Bahasa, Hasil Pembelajaran, Sistem Bahasa, dan Pengisian Kurikulum. Terdapat enam dokumen sampingan yang dikenali sebagai Huraian Sukatan Pelajaran untuk panduan guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Huraian Sukatan Pelajaran ini disediakan bagi setiap tahun, iaitu dari tahun satu hingga tahun enam.

MATLAMAT
Matlamat Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian.
OBJEKTIF
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah murid dapat:

i. mendengar pengucapan dengan teliti dan memahami serta menghayati pengucapan dalam konteks perbualan harian dan situasi formal;
ii. bertutur petah menggunakan sebutan dan intonasi yang betul dalam pelbagai situasi;
iii. berbincang dan berkongsi pendapat untuk menyelesaikan masalah, mencapai persetujuan, dan membuat keputusan tentang sesuatu perkara;
iv. membaca pelbagai bahan sastera dan bahan berunsur pengetahuan menggunakan teknik membaca yang sesuai dan berkesan untuk memperoleh ilmu dan memproses maklumat secara kritis;
v. memupuk minat membaca sebagai satu amalan ke arah membina budaya pembelajaran berterusan;
vi. memperkembang kekuatan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis, dan penghayatan nilai murni melalui aktiviti bertutur, membaca, dan menulis;
vii. mengenali dan menghasilkan pelbagai jenis penulisan kreatif dan berunsur pengetahuan menggunakan kemahiran menulis serta proses penulisan yang sesuai dan betul;
viii. menggunakan bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata, tatabahasa, dan sebutan yang betul dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis;
ix. menghargai dan menghayati keindahan bahasa melalui karya sastera dan karya berunsur ilmu; dan
x. menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotisme , dan perasaan cinta akan negara.

ORGANISASI KANDUNGAN
Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah digubal dengan memberikan fokus kepada Hasil Pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Hasil Pembelajaran ini berteraskan kemahiran bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca, dan Kemahiran Menulis. Hasil Pembelajaran juga menggabungkan peraturan dalam Sistem Bahasa dan
disokong oleh elemen Pengisian Kurikulum.

Kemahiran Bahasa
Kemahiran Bahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran Bahasa merupakan teras penguasaan bahasa baku.
Kemahiran Mendengar
Kemahiran Mendengar merupakan keupayaan murid mendengar dengan teliti , memahami  perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan maklum balas.
Kemahiran Bertutur
Kemahiran Bertutur merupakan keupayaan murid berbual untuk menjalin hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberi kepada penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai.
Kemahiran Membaca
Kemahiran Membaca merupakan keupayaan murid membaca ayat dengan lancar serta sebutan, intonasi, dan jeda yang betul. Penekanan perlu diberi kepada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca.
Kemahiran Menulis
Kemahiran Menulis merupakan keupayaan murid menulis perkataan dan ayat dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas, cantik, dan kemas. Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan
bahan berunsur pengetahuan dan penulisan imaginatif. Penguasaan kemahiran bahasa memerlukan kepelbagaian situasi dan konteks yang meliputi bentuk prosa, puisi, dan grafik.

Hasil Pembelajaran
Hasil Pembelajaran ialah pernyataan yang ditafsirkan daripada objektif kurikulum bahasa. Pernyataan Hasil Pembelajaran merupakan petunjuk yang jelas tentang kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid. Oleh itu, murid perlu menguasai kemahiran berbahasa yang terdapat dalam setiap hasil pembelajaran. Justeru, Hasil Pembelajaran dapat membantu guru memilih kandungan, kaedah, sumber, dan prosedur pengajaran yang relevan dan
berkesan. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, Hasil Pembelajaran dapat dicapai dengan menggabungjalinkan keempat-empat kemahiran bahasa, sistem bahasa dan pengisian kurikulum. Pendekatan
yang berfokus kepada gaya pembelajaran yang pelbagai juga dapat
membantu murid mencapai Hasil Pembelajaran. Selain itu, Hasil
Pembelajaran juga dapat membantu dalam membuat pengukuran dan
penilaian pencapaian murid.

Sistem Bahasa
Sistem Bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada bahasa Melayu baku yang terdiri daripada tatabahasa, ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata dan peribahasa. Aspek tatabahasa merangkumi morfologi dan sintaksis manakala aspek kosa kata terdiri daripada kosa kata umum dan istilah yang terdapat dalam mata pelajaran yang lain pada peringkat rendah.

Pengisian Kurikulum
Pengisian Kurikulum terdiri daripada elemen yang menggabungkan perkembangan terkini dalam pendidikan yang meliputi aspek ilmu, nilai, kewarganegaraan, peraturan sosiobudaya, dan kemahiran bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir, kemahiran belajar cara belajar, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai ,  pembelajaran konstruktivisme, dan kontekstual. Semua elemen ini dapat diaplikasikan oleh murid dalam dunia pekerjaan. Di samping itu, pendidikan nilai, kewarganegaraan, dan patriotisme diberi penekanan selaras dengan matlamat negara membangunkan masyarakat madani.

I. Kemahiran Mendengar dan Bertutur
Kemahiran Mendengar dan Bertutur merupakan keupayaan murid memahami perkara yang didengar dan dituturkan dalam pelbagai situasi pengucapan sama ada perbualan harian atau situasi formal. Kemahiran ini bertujuan menimbulkan kemesraan dan mengeratkan
persahabatan serta dapat membincangkan topik yang lebih mencabar. Semua perbualan harus mengambil kira aspek sosiobudaya dan tatasusila untuk menjamin kesejahteraan hubungan. Hasil Pembelajaran bagi Kemahiran Mendengar dan Bertutur ialah
berbual, bercerita, menyampaikan maklumat, dan berbincang.

1.0 Berbual dengan keluarga, rakan sebaya, dan pihak lain
dalam situasi formal dan tidak formal
1.1 Berbual tentang sesuatu perkara berkaitan dengan kehidupan seharian menggunakan kata, ungkapan, ayat, sebutan, intonasi, dan nada yang sesuai.
1.2 Bertanya dan menjawab tentang sesuatu perkara secara bertatasusila.
1.3 Memberikan dan memahami arahan serta pesanan tentang sesuatu perkara.
1.4 Menyatakan permintaan secara berterus terang dan
meyakinkan dengan intonasi dan paralinguistik yang sesuai untuk menguatkan permintaan.
1.5 Memberikan penjelasan tentang sesuatu perkara yang tersurat dan tersirat.
1.6 Menyatakan sesuatu kemahuan semasa menjalankan transaksi dalam urusan harian untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan.

2.0 Bercerita dan melaporkan sesuatu perkara yang
didengar, ditonton, dibaca , atau dialami
2.1 Bercerita menggunakan kata, frasa, ayat serta sebutan dan intonasi yang baik dan jelas.
2.2 Melaporkan sesuatu perkara dengan bahasa yang
sesuai dan tepat.

3.0 Menyampaikan maklumat dalam pengucapan yang
mudah, betul, menarik, dan berkesan
3.1 Menyampaikan maklumat tentang sesuatu perkara atau tajuk menggunakan kata, istilah, frasa, struktur ayat yang betul dan laras bahasa yang sesuai.
3.2 Menghuraikan maklumat dengan alasan yang meyakinkan.
3.3 Menyampaikan maklumat kepada pihak lain dalam aktiviti yang terancang.

4.0 Berbincang tentang tajuk-tajuk yang relevan secara
bertatasusila
4.1 Mengemukakan idea, pandangan, dan pendapat tentang sesuatu perkara secara terperinci, tepat , dan tersusun.
4.2 Mengemukakan komen yang sesuai berdasarkan pemerhatian, pengalaman, dan maklumat yang disampaikan oleh pihak lain.
4.3 Mengemukakan hujah untuk menyokong atau menentang sesuatu pendirian dengan memberikan alasan yang sesuai secara sopan dalam aktiviti yang terancang.
4.4 Menyatakan pilihan untuk menerima atau menolak pandangan dan pendapat dalam perundingan bagi mencapai kata sepakat.

II. Kemahiran Membaca
Kemahiran Membaca merupakan kebolehan murid membaca bahan sastera dan bukan sastera dengan sebutan dan intonasi yang betul dan lancar serta memahami bahan yang dibaca. Penekanan diberikan kepada aspek pemahaman dan penaakulan kandungan teks secara kritis. Pelbagai teknik membaca diajarkan kepada murid untuk memastikan keefisienan membaca. Hasil Pembelajaran bagi kemahiran membaca ialah membaca kuat, memahami maklumat , menaakul , dan menghayati teks.

5.0 Membaca kuat dengan kelancaran sebutan, intonasi,
dan gaya pembacaan yang sesuai
5.1 Membaca kuat perkataan dan ayat dengan sebutan dan intonasi yang betul dan memahami perkara yang dibaca.
5.2 Membaca kuat teks prosa dan puisi dengan sebutan dan intonasi yang betul dan lancar serta memahami perkara yang dibaca.

6.0 Membaca dan memahami maklumat yang terdapat
dalam pelbagai teks
6.1 Merujuk pelbagai sumber untuk mendapatkan maklumat bagi tajuk yang sedang dikaji termasuk maklumat daripada internet.
6.2 Mengenal pasti pelbagai genre penulisan.
6.3 Membaca dan mengenal pasti isi utama dan isi sampingan daripada teks.
6.4 Membaca pantas secara luncuran untuk mendapatkan maklumat yang menyeluruh.
6.5 Membaca pantas secara imbasan untuk mendapatkan maklumat khusus.
6.6 Membuat ramalan berdasarkan sesuatu cerita atau maklumat yang diberi dalam bahan ilmu.

7.0 Membaca, menaakul , dan menghayati kandungan teks
yang dibaca
7.1 Membaca dan menerangkan maksud kandungan teks yang tersurat dan tersirat.
7.2 Membaca dan mengenal pasti perkataan, pelbagai jenis ayat, dan gaya bahasa daripada bahan sastera dan bukan sastera yang dapat membawa kesan tertentu kepada pembaca.
7.3 Membaca dan menghayati pelbagai bahan sastera dan bukan sastera yang berkualiti untuk meningkatkan dan memperkukuh minat membaca.
III. Kemahiran Menulis
Kemahiran Menulis merupakan keupayaan murid menulis perkataan dan membina ayat, serta dapat mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan. Ini termasuk penulisan tentang pengalaman peribadi yang dilalui, bahan sastera serta bahan berunsur ilmu. Penulisan hendaklah menggunakan ayat yang gramatis serta tanda baca dan ejaan yang betul. Tulisan berangkai yang jelas dan cantik hendaklah digalakkan. Hasil pembelajaran bagi Kemahiran Menulis ialah keupayaan menggunakan pelbagai jenis ayat dan wacana, mencatat dan menyusun maklumat, menghasilkan penulisan kreatif dan bukan kreatif, dan membuat ulasan.

8.0 Menggunakan pelbagai jenis ayat dan wacana dalam
penulisan
8.1 Membina dan menulis perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk.
8.2 Membina dan menulis ayat tunggal dan ayat majmuk dalam sesuatu penulisan teks tentang sesuatu tajuk.
8.3 Menulis perkataan dan ayat dengan tulisan berangkai yang kemas.
8.4 Membina dan menulis ayat topik dan ayat huraian berdasarkan sesuatu perkara.
8.5 Mengenal pasti dan menggunakan penanda wacana yang sesuai dalam satu perenggan bagi sesebuah karangan.
8.6 Membina wacana yang sempurna bagi keseluruhan karangan.

9.0 Mencatat dan menyusun maklumat
9.1 Mengambil imlak bahan yang diperdengarkan.
9.2 Mengenal pasti maklumat dan mencatat nota daripada bahan yang didengar atau dibaca.
9.3 Menyusun maklumat daripada nota atau catatan hasil daripada bahan yang didengar atau dibaca secara kohesif.

10.0 Menghasilkan penulisan kreatif dan bukan kreatif
10.1 Menghasilkan pelbagai genre (prosa dan puisi) termasuk e-mel yang mudah, menarik dan bermakna.
10.2 Mengedit dan memurnikan hasil penulisan.
10.3 Membuat ringkasan daripada bahan yang
didengar dan dibaca.

11.0 Membuat ulasan tentang bahan yang didengar, ditonton,
atau dibaca
11.1 Menyatakan pandangan tentang perkara yang menarik dalam sesebuah karya.
11.2 Mengulas karya bukan sastera dari segi penggunaan perkataan, idea, ayat, wacana, nilai dan pengajaran.
11.3 Mengulas karya sastera yang mudah secara umum dari
segi tema dan persoalan, watak dan perwatakan, nilai
dan pengajaran, dan gaya bahasa.
11.4 Memberikan komen dan pandangan tentang pendapat
yang disampaikan oleh pihak lain.

SISTEM BAHASA
Sistem Bahasa berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran tatabahasa, ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata, dan peribahasa. Penerangan ringkas bagi perkara tersebut dinyatakan di bawah.

1.0 Tatabahasa
Tatabahasa hendaklah dijadikan dasar kecekapan berbahasa dan diajarkan secara terancang dalam konteks untuk ketepatan berbahasa. Kandungan tatabahasa terdiri daripada morfologi dan sintaksis.
1.1  Morfologi
Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk kata, dan penggolongan kata. Struktur kata ialah susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang(tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna.Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan , dan penggandaan. Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama. Aspek
morfologi yang diberi tumpuan adalah seperti yang berikut:

a. Struktur kata merujuk kepada pola suku kata bagi
i. kata asli bahasa Melayu
ii. kata pinjaman bahasa Melayu

b. Bentuk kata
i. kata tunggal
ii. kata terbitan
iii. kata majmuk
iv. kata ganda
Proses pembentukan kata bahasa Melayu ialah:
i. pengimbuhan
ii. penggandaan
iii. pemajmukan
Antara ketiga-tiga proses pembentukan kata, yang amatkompleks ialah sistem imbuhan
bahasa Melayu. Oleh itu, penekanan hendaklah diberi kepada aspek penggunaan imbuhan yang betul dari segi bentuk dan makna.

c. Golongan kata
i. kata nama
ii. kata kerja
iii. kata adjektif
iv. kata tugas

1.2 Sintaksis
Sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur , dan binaan atau konstruksi ayat. Ini bermakna, bidang sintaksis ialah kajian tentang hukum atau rumus
tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat. Aspek sintaksis yang diberi tumpuan adalah seperti yang berikut :
a. unsur utama yang terdiri daripada kata, frasa, klausa, dan aspek pembinaannya serta pembahagian subjek dan predikat,
b. jenis ayat, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan,
c. ragam ayat, iaitu ayat aktif dan ayat pasif,
d. susunan ayat, iaitu susunan biasa dan songsang,
e. binaan dan proses penerbitan ayat:
i. ayat dasar
ii. ayat tunggal
iii. ayat terbitan atau ayat majmuk, dan
f. aspek tanda baca

2.0 Sistem Ejaan
Perkara yang diberi penekanan ialah:
i. pola keselarasan huruf vokal
ii. ejaan kata pinjaman
iii. ejaan kata dasar dan kata terbitan

3.0 Sebutan dan Intonasi
Sebutan dan intonasi diajarkan supaya murid dapat menyebut perkataan dan ayat dengan betul serta memahami intonasi dan jeda. Kemahiran yang dipupuk ialah kebolehan mengenal pasti dan membezakan pelbagai aspek dalam sebutan dan intonasi
supaya murid dapat menyampaikan sesuatu makna dengan tepat. Sebutan bahasa Melayu yang diajarkan di sekolah hendaklah sebutan bahasa Melayu baku.
i. Sebutan
Sebutan diajarkan supaya murid dapat menyebut sesuatu kata dengan betul. Sebutan bahasa Melayu yang diajarkan di sekolah hendaklah sebutan bahasa Melayu
baku.
ii. Intonasi
Intonasi ayat bahasa Melayu hendaklah diajarkan mengikut pola yang berikut:
a. Jenis ayat
i. ayat penyata
ii. ayat tanya
iii. ayat seruan
iv. ayat perintah
b. Susunan ayat
i ayat biasa
ii. ayat songsang
c. Ragam ayat
i ayat aktif
ii. ayat pasif
Nota:
* Buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu Edisi 1993 ialah buku tatabahasa pegangan yang menjadi sumber rujukan dalam pengajaran dan pembelajaran.
* Buku Daftar Ejaan Rumi dan Jawi Edisi 2001 ialah buku panduan ejaan yang menjadi rujukan dalam pengajaran dan pembelajaran.

4.0 Kosa kata
Kosa kata terdiri daripada kosa kata umum dan istilah. Penguasaan kosa kata perlu dipertingkatkan dan diperkembang selaras dengan pertambahan ilmu dalam mata pelajaran
peringkat sekolah rendah.

5.0 Peribahasa
Peribahasa yang merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan , kata-kata hikmat , dan bahasa kiasan perlu diajarkan dalam pendidikan Bahasa Melayu. Pemilihan peribahasa, kata-kata hikmat, dan bahasa kiasan
hendaklah mengutamakan falsafah, keperibadian, dan nilai murni masyarakat Malaysia.

PENGISIAN KURIKULUM
Terdapat beberapa elemen dalam pengisian kurikulum, iaitu ilmu daripada pelbagai bidang ilmu,nilai,kewarganegaraan , peraturan sosiobudaya, dan kemahiran bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai , serta pembelajaran secara konstruktivisme, dan kontekstual.

1.0 Ilmu
Ilmu merangkumi pelbagai bidang ilmu dan disiplin . Contohnya ilmu dalam bidang sains, geografi dan lain-lain yang dapat digunakan untuk memperkembang ilmu bahasa dan kemahiran bahasa. Pengetahuan juga termasuk perkara semasa yang boleh
dipertimbangkan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran.

2.0 Nilai
Penyerapan nilai murni dalam pendidikan Bahasa Melayu adalah untuk melahirkan insan yang baik serta memiliki akhlak mulia. Selain itu, penghayatan dan amalan nilai murni bertujuan membentuk generasi muda yang berhemah tinggi dan berperibadi
mulia. Keperihatinan dan pemahaman bahawa Malaysia ialah negara pelbagai budaya harus dipupuk secara langsung dan tidak langsung. Ini seterusnya dilanjutkan kepada pemahaman
di peringkat antarabangsa selaras dengan keperluan globalisasi.

3.0 Kewarganegaraan
Unsur patriotisme dan kewarganegaraan yang diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran mengutamakan pemupukan semangat cinta dan taat akan tanah air. Di samping itu, pemupukan unsur ini bertujuan untuk melahirkan warganegara yang baik dan meningkatkan komitmen individu terhadap bangsa dan negara.

4.0 Peraturan Sosiobudaya
Peraturan sosiobudaya dalam pendidikan Bahasa Melayu meliputi kesantunan bahasa, laras bahasa , dan peribahasa yang diamalkan dalam masyarakat Malaysia.

5.0 Kemahiran Bernilai Tambah
Kemahiran bernilai tambah mengutamakan pengalaman di bilik darjah sesuai dengan situasi kehidupan dunia sebenar murid serta senario dunia yang global. Sehubungan dengan itu,
kurikulum Bahasa Melayu menyepadukan kemahiran lain agar memenuhi keperluan semasa pengajaran dan pembelajaran. Kemahiran bernilai tambah yang dimaksudkan ialah kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai , serta pembelajaran konstruktivisme, dan kontekstual. Penjelasan tentang kemahiran bernilai tambah dinyatakan di bawah.

5.1 Kemahiran Berfikir
Kemahiran berfikir diajarkan kepada murid melalui soalan dan aktiviti yang memerlukan pemikiran kritis dan kreatif dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis.
Kemahiran berfikir , sama ada dari segi mengkonsepsikan idea, menyelesaikan masalah atau membuat keputusan penting dalam kehidupan harian dan kerjaya murid pada
masa depan.
5.2 Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi perlu diajarkan kepada murid supaya mereka dapat menggunakan komputer untuk tujuan komunikasi seperti menghantar dan menerima e-mel, menggunakan aplikasi
perisian dalam menyempurnakan tugasan harian, dan mengakses maklumat melalui internet.
5.3 Kemahiran Belajar Cara Belajar
Kemahiran belajar cara belajar perlu diajarkan kepada murid supaya mereka peka terhadap teknik pembelajaran yang berkesan. Penguasaan kemahiran ini membolehkan
murid meningkatkan pengetahuan, cekap bertindak untuk menghadapi dunia yang sering berubah, dan mengamalkan pembelajaran seumur hidup.
5.4 Kajian Masa Depan
Kajian masa depan ialah satu pendekatan pembelajaran untuk mendidik murid agar lebih prihatin terhadap sesuatu isu atau permasalahan yang berlaku pada masa lampau,
masa kini, dan masa depan. Ini bermakna, murid dapat membuat ramalan, menjangka akibat, serta mengendalikan perubahan supaya murid mendapat
manfaat yang maksimum.
5.5 Kecerdasan Pelbagai
Kecerdasan pelbagai merangkumi verbal-linguistik, logikmatematik, muzik, kinestetik, visual-ruang, interpersonal, intrapersonal, dan naturalis. Oleh itu, guru perlu
mengembangkan potensi kecerdasan murid dengan menyediakan gaya pembelajaran yang sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka kerana setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan yang berbeza.
5.6 Pembelajaran Konstruktivisme
Pembelajaran konstruktivisme dalam pendidikan dapat
melahirkan murid yang boleh membina pemahaman dan pengetahuan baru mereka sendiri berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Pembelajaran
ini menjadikan murid lebih faham, yakin, dan lebih seronok untuk terus belajar sepanjang hayat.
5.7 Pembelajaran Kontekstual
Pembelajaran kontekstual ialah kaedah pembelajaran
yang mengaitkan isi pelajaran dengan pengalaman harian individu, masyarakat, dan alam pekerjaan. Pembelajaran kontekstual disampaikan dalam persekitaran yang pelbagai, secara konkrit yang melibatkan latih amal dan berfikir. Pembelajaran berlaku apabila murid berupaya menghubungkaitkan pengetahuan baru secara bermakna dan menghayati kerelevanan pembelajaran dengan kehidupan mereka.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger