Selamat berkunjung

Selamat datang ke halaman blog Cikgu Yati

About

Asal Usul Bahasa Melayu


.1 ASAL USUL BAHASA MELAYU
Apabila kita ingin mengetahui asal usul sesuatu bahasa, kita perlu mengetahui asal bangsa yang menjadi penutur utama bahasa tersebut. Hal ini demikian adalah kerana bahasa itu dilahirkan oleh sesuatu masyarakat penggunanya dan pengguna bahasa itu membawa bahasanya ke mana pun ia pergi. Demikianlah juga halnya dengan bahasa Melayu. Apabila kita ingin mengetahui asal usul bahasa Melayu, maka kita perlu menyusurgaluri asal usul bangsa Melayu.

Walaupun sudah ada beberapa kajian dilakukan terhadap asal usul bangsa Melayu, tetapi kata sepakat para ahli belum dicapai. Setakat ini ada dua pandangan yang dikemukakan. Pandangan yang pertama menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari utara (Asia Tengah) dan pandangan yang kedua menyatakan bahawa bangsa Melayu memang sudah sedia ada di Kepulauan Melayu atau Nusantara ini.
Sebagai perbandingan, kedua-dua pandangan tersebut diperlihatkan seperti yang berikut ini.
1.1.1 Berasal dari Asia Tengah
R.H. Geldern ialah seorang ahli prasejarah dan menjadi guru besar di Iranian Institute and School for Asiatic Studies telah membuat kajian tentang asal usul bangsa Melayu. Sarjana yang berasal dari Wien, Austria ini telah membuat kajian terhadap kapak tua (beliung batu). Beliau menemui kapak yang diperbuat daripada batu itu di sekitar hulu Sungai Brahmaputra, Irrawaddy, Salween, Yangtze, dan Hwang. Bentuk dan jenis kapak yang sama, beliau temui juga di beberapa tempat di kawasan Nusantara. Geldern berkesimpulan, tentulah kapak tua tersebut dibawa oleh orang Asia Tengah ke Kepulauan Melayu ini (lihat peta pada Lampiran 1).

J.H.C. Kern ialah seorang ahli filologi Belanda yang pakar dalam bahasa Sanskrit dan pelbagai bahasa Austronesia yang lain telah membuat kajian berdasarkan beberapa perkataan yang digunakan sehari-hari terutama nama tumbuh-tumbuhan, haiwan, dan nama perahu. Beliau mendapati bahawa perkataan yang terdapat di Kepulauan Nusantara ini terdapat juga di Madagaskar, Filipina, Taiwan, dan beberapa buah pulau di Lautan Pasifik (lihat peta pada Lampiran 1). Perkataan tersebut di antara lain ialah: padi, buluh, rotan, nyiur, pisang, pandan, dan ubi. Berdasarkan senarai perkataan yang dikajinya itu Kern berkesimpulan bahawa bahasa Melayu ini berasal daripada satu induk yang ada di Asia.

W. Marsden pula dalam kajiannya mendapati bahawa bahasa Melayu dan bahasa Polinesia (bahasa yang digunakan di beberapa buah pulau yang terdapat di Lautan Pasifik) merupakan bahasa yang serumpun. E. Aymonier dan A. Cabaton pula mendapati bahawa bahasa Campa serumpun dengan bahasa Polinesia, manakala Hamy berpendapat bahawa bahasa Melayu dan bahasa Campa merupakan warisan daripada bahasa Melayu Kontinental. Di samping keserumpunan bahasa, W. Humboldt dalam kajiannya mendapati bahawa bahasa Melayu (terutama bahasa Jawa) telah banyak menyerap bahasa Sanskrit yang berasal dari India.
J.R. Foster yang membuat kajiannya berdasarkan pembentukan kata berpendapat bahawa terdapat kesamaan pembentukan kata dalam bahasa Melayu dan bahasa Polinesia. Beliau berpendapat bahawa kedua-dua bahasa ini berasal daripada bahasa yang lebih tua yang dinamainya Melayu Polinesia Purba. Seorang ahli filologi bernama A.H. Keane pula berkesimpulan bahawa struktur bahasa Melayu serupa dengan bahasa yang terdapat di Kampuchea.

J.R. Logan yang membuat kajiannya berdasarkan adat resam suku bangsa mendapati bahawa ada persamaan adat resam kaum Melayu dengan adat resam suku Naga di Assam (di daerah Burma dan Tibet). Persamaan adat resam ini berkait rapat dengan bahasa yang mereka gunakan. Beliau mengambil kesimpulan bahawa bahasa Melayu tentulah berasal dari Asia. G.K. Nieman dan R.M. Clark yang juga membuat kajian mereka berdasarkan adat resam dan bahasa mendapati bahawa daratan Asia merupakan tanah asal nenek moyang bangsa Melayu.
Dua orang sarjana Melayu, iaitu Slametmuljana dan Asmah Haji Omar juga menyokong pendapat di atas. Slametmuljana yang membuat penyelidikannya berdasarkan perbandingan bahasa, sampai pada suatu kesimpulan bahawa bahasa Austronesia yang dalamnya termasuk bahasa Melayu, berasal dari Asia. Asmah Haji Omar membuat huraian yang lebih terperinci lagi. Beliau berpendapat bahawa perpindahan orang Melayu dari daratan Asia ke Nusantara ini tidaklah sekaligus dan juga tidak melalui satu laluan. Ada yang melalui daratan, iaitu Tanah Semenanjung, melalui Lautan Hindi dan ada pula yang melalui Lautan China. Namun, beliau menolak pendapat yang mengatakan bahawa pada mulanya asal bahasa mereka satu dan perbezaan yang berlaku kemudian adalah kerana faktor geografi dan komunikasi. Dengan demikian, anggapan bahawa bahasa Melayu Moden merupakan perkembangan daripada bahasa Melayu Klasik, bahasa Melayu Klasik berasal daripada bahasa Melayu Kuno dan bahasa Melayu Kuno itu asalnya daripada bahasa Melayu Purba merupakan anggapan yang keliru.

Beliau berpendapat bahawa hubungan bahasa Melayu Moden dengan bahasa Melayu Purba berdasarkan skema seperti yang ditunjukkan di dalam rajah 1.1.

Rajah 1.1. Hubungan bahasa Melayu Moden dengan bahasa Melayu Purba

Skema di atas memperlihatkan bahawa bahasa Melayu Moden berasal daripada bahasa Melayu Klasik dan bahasa Melayu Klasik berasal daripada bahasa Melayu Induk. Bahasa Melayu Induk berasal daripada bahasa Melayu Purba yang juga merupakan asal daripada bahasa Melayu Kuno. Skema ini juga memperlihatkan bahawa bahasa Melayu Moden bukanlah merupakan pengembangan daripada dialek Johor-Riau dan bahasa Melayu Moden tidak begitu rapat hubungannya dengan dialek yang lain (Da, Db, dan Dn). Dialek yang lain berasal daripada Melayu Induk manakala dialek Johor-Riau berasal daripada Melayu Klasik.
Berikut ini akan diperlihatkan cara perpindahan orang Melayu dari Asia Tengah tersebut.
(a) Orang Negrito
Menurut pendapat Asmah Haji Omar sebelum perpindahan penduduk dari Asia berlaku, Kepulauan Melayu (Nusantara) ini telah ada penghuninya yang kemudian dinamai sebagai penduduk asli. Ada ahli sejarah yang mengatakan bahawa mereka yang tinggal di Semenanjung Tanah Melayu ini dikenali sebagai orang Negrito. Orang Negrito ini diperkirakan telah ada sejak tahun 8000 SM (Sebelum Masihi). Mereka tinggal di dalam gua dan mata pencarian mereka memburu binatang. Alat perburuan mereka diperbuat daripada batu dan zaman ini disebut sebagai Zaman Batu Pertengahan. Di Kedah sebagai contoh, pada tahun 5000 SM, iaitu pada Zaman Paleolit dan Mesolit, telah didiami oleh orang Austronesia yang menurunkan orang Negrito, Sakai, Semai, dan sebagainya.
(b) Melayu-Proto
Berdasarkan pendapat yang mengatakan bahawa orang Melayu ini berasal dari Asia Tengah, perpindahan tersebut (yang pertama) diperkirakan pada tahun 2500 SM. Mereka ini kemudian dinamai sebagai Melayu-Proto. Peradaban orang Melayu-Proto ini lebih maju sedikit daripada orang Negrito. Orang Melayu-Proto telah pandai membuat alat bercucuk tanam, membuat barang pecah belah, dan alat perhiasan. Kehidupan mereka berpindah-randah. Zaman mereka ini dinamai Zaman Neolitik atau Zaman Batu Baru.
(c) Melayu-Deutro
Perpindahan penduduk yang kedua dari Asia yang dikatakan dari daerah Yunan diperkirakan berlaku pada tahun 1500 SM. Mereka dinamai Melayu-Deutro dan telah mempunyai peradaban yang lebih maju daripada Melayu-Proto. Melayu-Deutro telah mengenal kebudayaan logam. Mereka telah menggunakan alat perburuan dan pertanian daripada besi. Zaman mereka ini dinamai Zaman Logam. Mereka hidup di tepi pantai dan menyebar hampir di seluruh Kepulauan Melayu ini.

Kedatangan orang Melayu-Deutro ini dengan sendirinya telah mengakibatkan perpindahan orang Melayu-Proto ke pedalaman sesuai dengan cara hidup mereka yang berpindah-randah. Berlainan dengan Melayu-Proto, Melayu-Deutro ini hidup secara berkelompok dan tinggal menetap di sesuatu tempat. Mereka yang tinggal di tepi pantai hidup sebagai nelayan dan sebahagian lagi mendirikan kampung berhampiran sungai dan lembah yang subur. Hidup mereka sebagai petani dan berburu binatang. Orang Melayu-Deutro ini telah pandai bermasyarakat. Mereka biasanya memilih seorang ketua yang tugasnya sebagai ketua pemerintahan dan sekaligus ketua agama. Agama yang mereka anuti ketika itu ialah animisme.
1.1.2 Berasal dari Nusantara
Seorang sarjana Inggeris bernama J. Crawfurd telah membuat kajian perbandingan bahasa yang ada di Sumatera, Jawa, Kalimantan, dan kawasan Polinesia. Beliau berpendapat bahawa asal bahasa yang tersebar di Nusantara ini berasal daripada bahasa di Pulau Jawa (bahasa Jawa) dan bahasa yang berasal dari Pulau Sumatera (bahasa Melayu). Bahasa Jawa dan bahasa Melayulah yang merupakan induk bagi bahasa serumpun yang terdapat di Nusantara ini.

J. Crawfurd menambah hujahnya dengan bukti bahawa bangsa Melayu dan bangsa Jawa telah memiliki taraf kebudayaan yang tinggi dalam abad kesembilan belas. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah mengalami perkembangan budaya beberapa abad lamanya. Beliau sampai pada satu kesimpulan bahawa:
(a) Orang Melayu itu tidak berasal dari mana-mana, tetapi malah merupakan induk
yang menyebar ke tempat lain.
(b) Bahasa Jawa ialah bahasa tertua dan bahasa induk daripada bahasa yang lain.
K. Himly, yang mendasarkan kajiannya terhadap perbandingan bunyi dan bentuk kata bahasa Campa dan pelbagai bahasa di Asia Tenggara menyangkal pendapat yang mengatakan bahawa bahasa Melayu Polinesia serumpun dengan bahasa Campa. Pendapat ini disokong oleh P.W. Schmidt yang membuat kajiannya berdasarkan struktur ayat dan perbendaharaan kata bahasa Campa dan Mon-Khmer. Beliau mendapati bahawa bahasa Melayu yang terdapat dalam kedua-dua bahasa di atas merupakan bahasa ambilan sahaja.

Sutan Takdir Alisjahbana, ketika menyampaikan Syarahan Umum di Universiti Sains Malaysia (Julai 1987) menggelar bangsa yang berkulit coklat yang hidup di Asia Tenggara, iaitu Thailand Selatan, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, dan Filipina Selatan sebagai bangsa Melayu yang berasal daripada rumpun bangsa yang satu. Mereka bukan sahaja mempunyai persamaan kulit bahkan persamaan bentuk dan anggota badan yang berbeza daripada bangsa Cina di sebelah timur dan bangsa India di sebelah barat.

Gorys Keraf di dalam bukunya Linguistik bandingan historis (1984) mengemukakan teori Leksikostatistik dan teori Migrasi bagi mengkaji asal usul bangsa dan bahasa Melayu. Setelah mengemukakan hujah tentang kelemahan pendapat terdahulu seperti: Reinhold Foster (1776), William Marsden (1843), John Crawfurd (1848), J.R. Logan (1848), A.H. Keane (1880), H.K. Kern (1889), Slametmuljana (1964), dan Dyen (1965) beliau mengambil kesimpulan bahawa "...negeri asal (tanahair, homeland) nenek moyang bangsa Austronesia haruslah daerah Indonesia dan Filipina (termasuk daerah-daerah yang sekarang merupakan laut dan selat), yang dulunya merupakan kesatuan geografis".

Pendapat lain yang tidak mengakui bahawa orang Melayu ini berasal dari daratan Asia mengatakan bahawa pada Zaman Kuarter atau Kala Wurn bermula dengan Zaman Ais Besar sekitar dua juta sehingga lima ratus ribu tahun yang lalu. Zaman ini berakhir dengan mencairnya ais secara perlahan-lahan dan air laut menggenangi dataran rendah. Dataran tinggi menjadi pulau. Ada pulau yang besar dan ada pulau yang kecil. Pemisahan di antara satu daratan dengan daratan yang lain berlaku juga kerana berlakunya letusan gunung berapi atau gempa bumi. Pada masa inilah Semenanjung Tanah Melayu berpisah dengan yang lain sehingga kemudian dikenali sebagai Pulau Sumatera, Pulau Jawa, Pulau Kalimantan, dan pulau lain di Indonesia.

Proto homonoid yang dianggap sebagai pramanusia dianggarkan sudah ada sejak satu juta tahun yang lalu dan ia berkembang secara evolusi. Namun, manusia yang sesungguhnya baru bermula sejak 44,000 tahun yang lalu dan manusia moden (Homo sapiens sapiens) muncul sekitar 11,000 tahun yang lalu.

Pada masa pramanusia dan manusia yang sesungguhnya di Asia Tenggara, Asia Timur, dan Australia telah ada manusia. Hal ini dibuktikan dengan ditemuinya Homo soloinensis dan Homo wajakensis (Manusia Jawa = "Java Man") yang diperkirakan berusia satu juta tahun.
Pada masa ini wilayah tersebut didiami oleh tiga kelompok Homo sapiens sapiens, iaitu orang Negrito di sekitar Irian dan Melanesia, orang Kaukasus di Indonesia Timur, Sulawesi, dan Filipina, serta orang Mongoloid di sebelah utara dan barat laut Asia.

Masing-masing bangsa ini berpisah dengan berlakunya pemisahan daratan. Mereka berpindah dengan cara yang perlahan. Orang Kaukasus ada yang berpindah ke sebelah barat dan ada pula yang ke sebelah timur. Yang berpindah ke arah timur seperti ke Maluku, Flores, dan Sumba bercampur dengan orang Negrito. Yang berpindah ke arah barat mendiami Kalimantan, Aceh, Tapanuli, Nias, Riau, dan Lampung. Yang berpindah ke arah utara menjadi bangsa Khmer, Campa, Jarai, Palaung, dan Wa.

Hukum Bunyi yang diperkenalkan oleh H.N. van der Tuuk dan diperluas oleh J.L.A. Brandes yang menghasilkan Hukum R-G-H dan Hukum R-D-L dikatakan oleh C.A. Mees bahawa "Segala bahasa Austronesia itu, walaupun berbeza kerana pelbagai pengaruh dan sebab yang telah disebut, memperlihatkan titik kesamaan yang banyak sekali, baik pada kata-kata yang sama, seperti mata, lima, talinga, dan sebagainya, mahupun pada sistem imbuhan, dan susunan tatabahasanya. Perbezaan yang besar seperti dalam bahasa Indo-Eropah, misalnya: antara bahasa Perancis dan Jerman, antara Sanskrit dan Inggeris, tidak ada pada bahasa-bahasa Austronesia. Apalagi Kata Dasar (terutama bahasa Melayu) tidak berubah dalam morfologi" juga menunjukkan bahawa bahasa yang terdapat di Asia Selatan dan Tenggara berbeza dengan bahasa yang terdapat di Asia Tengah.
1.2 KESIMPULAN
Pendapat Geldern tentang kapak tua masih boleh diperdebatkan. Budaya kapak tua yang diperbuat daripada batu sebenarnya bukan hanya terdapat di Asia Tengah dan Nusantara. Budaya yang sama akan ditemui pada semua masyarakat primitif sama ada di Amerika dan juga di Eropah pada zaman tersebut.

Lagi pula, secara kebetulan Geldern membuat kajiannya bermula dari Asia kemudian ke Nusantara. Kesimpulan beliau tersebut mungkin akan lain sekiranya kajian itu bermula dari Nusantara, kemudian ke Asia Tengah.

Kajian Kern berdasarkan bukti Etnolinguistik memperlihatkan bahawa persamaan perkataan tersebut hanya terdapat di alam Nusantara dengan pengertian yang lebih luas dan perkataan tersebut tidak pula ditemui di daratan Asia Tengah. Ini menunjukkan bahawa penutur bahasa ini tentulah berpusat di tepi pantai yang strategik yang membuat mereka mudah membawa bahasa tersebut ke barat, iaitu Madagaskar dan ke timur hingga ke Pulau Easter di Lautan Pasifik.

Secara khusus, penyebaran bahasa Melayu itu dapat dilihat di sepanjang pantai timur Pulau Sumatera, di sepanjang pantai barat Semenanjung Tanah Melayu; di Pulau Jawa terdapat dialek Jakarta (Melayu-Betawi), bahasa Melayu Kampung di Bali, bahasa Melayu di Kalimantan Barat, bahasa Melayu Banjar di Kalimantan Barat dan Selatan, Sabah, Sarawak, dan bahasa Melayu di Pulau Seram.

Pendapat Marsden bahawa bahasa Melayu yang termasuk rumpun bahasa Nusantara serumpun dengan rumpun bahasa Mikronesia, Melanesia, dan Polinesia dengan induknya bahasa Austronesia secara tidak langsung memperlihatkan adanya kekerabatan dua bahasa tersebut yang tidak ditemui di Asia Tengah. Penyebaran bahasa Austronesia juga terlihat hanya bahagian pesisir pantai timur (Lautan Pasifik), pantai barat (Lautan Hindi), dan Selatan Asia (kawasan Nusantara) sahaja dan ia tidak masuk ke wilayah Asia Tengah.

Kesamaan pembentukan kata di antara bahasa Melayu dengan bahasa Polinesia yang dinyatakan oleh J.R. Foster dan kesamaan struktur bahasa Melayu dengan struktur bahasa Kampuchea juga memperlihatkan bahawa bahasa yang berada di Asia Selatan dan Asia Timur berbeza dengan bahasa yang berada di Asia Tengah. Jika kita lihat rajah kekeluargaan bahasa akan lebih nyata lagi bahawa bahasa di Asia Tengah berasal dari keluarga Sino-Tibet yang melahirkan bahasa Cina, Siam, Tibet, Miao, Yiu, dan Burma. Berdekatan dengannya agak ke selatan sedikit ialah keluarga Dravida, iaitu: Telugu, Tamil, Malayalam, dan lain-lain. Kedua-dua keluarga bahasa ini berbeza dengan bahasa di bahagian Timur, Tenggara, dan Selatan Asia, iaitu keluarga Austronesia yang menurunkan empat kelompok besar, iaitu Nusantara, Melanesia, Mikronesia, dan Polinesia.

Jika ditinjau dari sudut ilmu kaji purba pula, penemuan tengkorak yang terdapat di Nusantara ini memberi petunjuk bahawa manusia telah lama ada di sini. Penemuan tersebut di antara lain ialah:
1. Pithecanthropus Mojokerto (Jawa), yang kini berusia kira-kira 670,000 tahun.
2. Pithecanthropus Trinil (Jawa), kira-kira 600,000 tahun.
3. Manusia Wajak (Jawa), kira-kira 210,000 tahun.
Jika tiga fosil tersebut dibandingkan dengan fosil Manusia Peking atau Sinanthropus Pekinensis (China) yang hanya berusia kira-kira 550,000 tahun terlihat bahawa manusia purba lebih selesa hidup dan beranak-pinak berdekatan dengan Khatulistiwa. Hal ini diperkuat lagi dengan penemuan fosil tengkorak manusia yang terdapat di Afrika yang dinamai Zinjanthropus yang berusia 1,750,000 tahun. Beberapa hujah ini menambah kukuh kesimpulan Gorys Keraf di atas yang menyatakan bahawa nenek moyang bangsa Melayu ini tentulah sudah sedia ada di Kepulauan Melayu yang menggunakan bahasa keluarga Nusantara.
Masih ada soalan yang belum terjawab, iaitu jika betul bangsa Melayu ini sememangnya berasal dari Alam Melayu ini, sebelum itu dari manakah asal mereka? Pendapat orang Minangkabau di Sumatera Barat bahawa keturunan mereka ada hubungan dengan pengikut Nabi Nuh, iaitu bangsa Ark yang mendarat di muara Sungai Jambi dan Palembang semasa berlakunya banjir besar seperti yang diungkapkan oleh W. Marsden (1812) masih boleh dipertikaikan.

Yang agak berkemungkinan disusurgaluri ialah dari salasilah Nabi Nuh daripada tiga anaknya, iaitu Ham, Yafit, dan Sam. Dikatakan bahawa Ham berpindah ke Afrika yang keturunannya kemudian disebut Negro berkulit hitam, Yafit berpindah ke Eropah yang kemudian dikenali sebagai bangsa kulit putih, dan Sam tinggal di Asia menurunkan bangsa kulit kuning langsat. Putera kepada Sam ialah Nabi Hud yang tinggal di negeri Ahqaf yang terletak di antara Yaman dan Oman. Mungkinkah keturunan Nabi Hud yang tinggal di tepi laut, yang sudah sedia jadi pelaut, menyebar ke Pulau Madagaskar di Lautan Hindi hingga ke Hawaii di Lautan Pasifik lebih mempunyai kemungkinan menurunkan bangsa Melayu? Satu kajian baru perlu dilakukan.
Mulia, T.S.G. dan Hidding, K.A.H. Ensiklopedia Indonesia (F-M), 1955, m.s. 592.
Safioedin, Asis. Tatabahasa Indonesia, 1963, m.s. 6.
Peta ini disesuaikan daripada peta dunia yang diselenggarakan oleh UNDP dalam
bentuk lembaran.
Mulia, T.S.G. op. cit., m.s. 778.
Slametmuljana. Asal bangsa dan bahasa Nusantara, 1975. passim., m.s. 12-18.
Ibid., m.s. 30.
Asmah Hj. Omar. Susur galur bahasa Melayu, 1985, m.s. 395.
Ibid., m.s. 16.
Ibid., m.s. 31-32.
Ryan. N.J. Sejarah Semenanjung Tanah Melayu, 1965, m.s. 5-6.
Asmah Hj. Omar, passim., m.s. 28-29 dan Slametmuljana. passim., m.s. 11-28.
Keraf, Gorys. Linguistik bandingan historis, 1984. passim., m.s. 184-201.
Mees, C.A. Ilmu perbandingan bahasa-bahasa Austronesia. 1967, m.s. 2.
Ibid., m.s. 28.
Keraf, Gorys. op. cit., m.s. 196-198.
Marsden, W. A grammar of the Malayan language, 1812, m.s. vi.
Safwan Fathy. Kisah dari al-Quran, 1988. passim., m.s. 53-55.

 .1 PENGENALAN
http://mcp.anu.edu.au/papers/darwis/B.giferkurun lamanya orang yang tinggal di alam Melayu ini hidup berkelompok tanpa berhubungan dengan kelompok yang lain. Mereka dipisahkan oleh gunung-ganang dan lautan yang luas. Walaupun pada mulanya mereka satu asal tetapi kerana terputusnya hubungan di antara satu kelompok dengan kelompok yang lain dalam masa yang sangat lama, maka setiap kelompok mengatur cara hidup dan menggunakan pertuturan mereka sendiri sesuai dengan keadaan alam dan keperluan hidup mereka masing-masing. Akibat keadaan inilah timbulnya suku bangsa dan bahasa yang terdapat di Indonesia dan pelbagai loghat/dialek bahasa Melayu di Tanah Semenanjung.

Sebelum ditemui bukti sejarah berupa tulisan pada batu bersurat tentulah bahasa Melayu telah digunakan untuk masa yang panjang kerana didapati bahasa yang ada pada batu bersurat kemudiannya sudah agak tersusun pembinaan kata dan pembinaan ayatnya dan juga sudah kuat pengaruhnya sehingga orang India yang menulis perkataan pada batu bersurat tersebut yang menggunakan aksara Sanskrit memasukkan juga beberapa perkataan Melayu. Untuk memberi nama pada bahasa yang tidak mempunyai bukti sejarah tersebut (sebelum bahasa orang India masuk ke Nusantara), ia diberi nama bahasa Melayu Purba.
2.2 BAHASA MELAYU KUNO
Berabad-abad sebelum Masihi, Selat Melaka telah digunakan oleh pedagang Arab sebagai laluan pelayarannya membawa barang perniagaan dari Tiongkok, Sumatera, dan India ke Pelabuhan Yaman. Dari Sumatera hasil yang paling utama mereka beli ialah rempah kerana rempah ini merupakan keperluan yang penting bagi orang Arab di Saba' (Kerajaan Saba' wujud di antara 115-950 SM). Pelabuhan di Sumatera pula mendapat bekalan rempah ini dari Pulau Maluku di samping Aceh yang sudah terkenal hasil rempahnya ke dunia Arab.

Pedagang Arab yang dimaksudkan di sini tidak semestinya beragama Islam kerana hubungan di antara Arab dan alam Melayu telah wujud sejak zaman sebelum munculnya Islam. Penggunaan kapur barus untuk mengawetkan mayat (mummi) yang disimpan di dalam piramid pada Zaman Mesir Kuno dikatakan diambil dari Barus (nama tempat) di Pulau Sumatera.
Pada abad pertama, barulah pedagang dari India belayar ke timur menuju Tiongkok dan pedagang Tiongkok pula belayar ke barat menuju India. Pelayaran dua hala ini mengharuskan mereka melalui Selat Melaka. Lama-kelamaan pelabuhan yang ada di Kepulauan Melayu ini bukan sahaja sebagai tempat persinggahan tetapi menjadi tempat perdagangan pedagang India dan Tiongkok seperti yang telah dirintis lebih awal oleh pedagang Arab. Di samping itu juga para mubaligh terutama mubaligh India turut datang ke Kepulauan Melayu ini untuk menyebarkan agama Hindu. Kedatangan para pedagang dan penyebar agama ini mengakibatkan bahasa Melayu Purba mendapat pengaruh baru. Bahasa Melayu Purba ini kemudian dinamai sebagai bahasa Melayu Kuno.

2.2.1 Batu Bersurat
Bukti bertulis yang tertua tentang bahasa Melayu Kuno ini terdapat di beberapa buah prasasti (batu bersurat). Yang terpenting di antara batu bersurat tersebut ialah:
(a) Batu Bersurat Kedukan Bukit (Palembang), bertarikh 605 Tahun Saka, bersamaan dengan 683 M (Masihi). Tulisan yang terdapat pada Batu Bersurat ini menggunakan huruf Palava (lihat lampiran 2).
(b) Batu Bersurat Talang Tuwo (Palembang), bertarikh 606 Tahun Saka, bersamaan dengan 684 M. Batu Bersurat ini ditemui oleh Residen Westenenk, 17 November 1920 di sebuah kawasan bernama Talang Tuwo, di sebelah barat daya Bukit Siguntang, iaitu lebih kurang 8 km dari Palembang.
(c) Batu Bersurat Kota Kapur (Bangka), bertarikh 608 Tahun Saka, bersamaan dengan 686 M.
(d) Batu Bersurat Karang Brahi (Jambi), bertarikh 614 Tahun Saka, bersamaan dengan 692 M.
2.2.1.1 Batu Bersurat Kedukan Bukit. Bahasa yang terdapat pada Batu Bersurat Kedukan Bukit tersebut ditulis dengan menggunakan huruf Palava, iaitu sejenis tulisan India Selatan Purba bagi penyebaran agama Hindu. Setelah ditransliterasikan ke huruf rumi tulisan tersebut adalah seperti yang berikut ini (dengan sedikit pengubahsuaian susunan dan bentuk, seperti c dibaca sy):
Svasti cri
cakavarsatita 605 ekadaci
cuklapaksa vulan vaicakha daputa
hyang nayik di samvau mangalap
siddhayatra
di saptami cuklapaksa
vulan jyestha dapunta hyang marlapas
dari minana Tamvar (Kamvar)
mamava yang vala dua laksa
ko dua ratus cara di samvau
dangan jalan sarivu tlu ratus sapulu dua vanakna
datang di matada (nau) sukhacitta
di pancami cuklapaksa vulan asada
laghu mudita datang
marvuat vanua ... Crivijaya
jaya siddhayatra subhika ...
Daripada transliterasi ini jelas terlihat walaupun pernyataan yang ingin disampaikan itu berkenaan dengan Raja Sriwijaya yang menganuti fahaman Hindu tetapi pengaruh bahasa Melayu terhadap bahasa Sanskrit sudah demikian meluas.
Jika kita bandingkan bahasa Melayu Kuno di atas dengan bahasa Melayu kini, kita akan mendapati perubahan pembentukan bunyi dan perkataan seperti yang berikut ini:
vulan = bulan
nayik = naik
samvau = sampau = sampan (maksudnya perahu yang besar)
mangalap = mengambil (maksudnya mencari)
marlapas = berlepas
mamava = membawa
vala = bala = balatentera
laksa = (menyatakan jumlah yang tidak terkira banyaknya)
dangan = dengan
sarivu = seribu
tlu = telu = tiga
sapuluh dua = sepuluh dua = dua belas
vanakna = banyaknya
sukhacitta = sukacita
marvuat = berbuat
vanua = benua = negeri
ko = ke
Jika dialihbahasakan ke dalam bahasa Melayu isi Batu Bersurat Kedukan Bukit ini lebih kurang seperti yang berikut ini:
Selamat bahagia
pada tahun saka 605 hari kesebelas
dari bulan terang bulan waisaka daputa
baginda naik perahu mencari
rezeki
pada hari ketujuh bulan terang
bulan jyesta dapunta baginda berlepas
dari muara Kampar
membawa askar dua laksa
dua ratus orang di perahu
yang berjalan seribu tiga ratus dua belas banyaknya
datang di matada dengan suka cita
pada hari kelima bulan terang bulan asada
dengan lega datang
membuat negeri ... Seriwijaya

yang berjaya, yang bahagia, yang makmur
2.2.1.2 Batu Bersurat Talang Tuwo. Kita perhatikan pula bahasa yang terdapat pada Batu Bersurat Talang Tuwo yang telah ditransliterasikan ini:
Svasti.
cri cakavarsatita 606 dim dvitiya cuklapaksa vulan caitra.
sana tatkalana parlak Criksetra ini.
niparvuat parvan dapunta hyang Cri Yayanaca (-ga) ini pranidhanan dapunta hyang savanakna yang nitanam di sini.
niyur pinang hanau rumviya dngan samicrana yang kayu nimakan vuahna.
tathapi haur vuluh pattung ityevamadi.
punarapi yang varlak verkan dngan savad tlaga savanakna yang vualtku sucarita paravis prayojanakan punyana sarvvasatva sacaracara.
varopayana tmu sukha di asannakala di antara margga lai.
tmu muah ya ahara dngan air niminumna.
savanakna vuatna huma parlak mancak muah ya manghidupi pacu prakara.
marhulun tuvi vrddhi muah ya jangam ya niknai savanakna yang upasargga.
pidana svapnavighna.
varang vuatana kathamapi.
anukula yang graha naksatra pravis diya.
Nirvyadhi ajara kavuatanana.
tathapi savanakna yam khrtyana satyarjjava drdhabhakti muah ya dya.
yang mitrana tuvi janan ya kapata yang vivina mulang anukala bharyya muah ya.
varamsthanana lagi curi ucca vadhana paradara di sana punarapi tmu ya kalyanamitra.
marvvangun vodhicitta dngan maitridhari di dang hyang ratnaraya jangan marsarak dngan dang hyang ratnaraya.
tathapi nityakala tyaga marcila ksanti marvvangun viryya rajin tahu di samicrana cilpakala paravis.
samahitacinta.
tmu ya prajna smrti medhavi.
punarapi dhairyyamani mahasattva vajracarira.
anubamacakti.
jaya tathapi jatismara.
avikalendriya.
mancak rupa.
subjaga hasin halap.
ade yavakya vrahmasvara.
jadi laki.
svayambtu.
puna (ra) pi tmu ya cintamaninidhana tmu janmavacita. karmmavacita clecavacita
avasana tmu ya anuttarabhisamyaksam vodhi.
Bahasa Melayu Kuno yang dapat kita kesan daripada batu bersurat di atas di antara lain ialah:
vulan = bulan
tatkalana = tatkalanya
nivarbuat = diperbuat
savanakna = sebanyaknya
nitanam = ditanam
niyur = nyiur
hanau = enau
rumvia = rumbia
dngan = dengan
nimakan = dimakan
vuahna = buahnya
tathapi = tetapi
haur = aur
vuluh = buluh
pattung = betung
tlaga = telaga
punyana = punyanya
tmu = temu, bertemu
margga = marga
sukha = suka
niminumna = diminumnya
savanakna = sebanyaknya, sebanyak-banyaknya
vuatna = buatnya
manghidupi = menghidupi
prakara = perkara
varang = barang
vuatana = buatannya
marvvangun = membangun
Harun Aminurrashid mengutip terjemahan Slametmuljana berkenaan dengan bahasa yang terdapat pada Batu Bersurat Talang Tuwo tersebut adalah seperti yang berikut ini:
Bahagia! Tahun Saka 606 pada hari kedua bulan terang caitra, itulah waktunya taman Sriksetra ini diperbuat, milik Dapunta Hyang Sri Jayanaga. Ini Pesan Dapunta Hyang: Semuanya yang ditanam di sini; nyiur, pinang, enau, rumbia dan lain-lain yang (berupa) pohon, dimakan buahnya, serta aur, buluh betung dan yang semacam itu. Demikian pula taman-taman lainnya dengan tebat telaga, semuanya yang kuperbuat, semua perbuatan baik, dimaksud untuk kebahagiaan semua makhluk yang bergerak dan tidak bergerak. Hendaklah daya upaya beliau yang sangat baik itu mendapat kesukaan di kemudian hari dengan jalan lain. Semoga beliau mendapatlah makanan dan air untuk minumnya. Semuanya yang dibuatnya; ladang, kebun luas, menghidupi binatang-binatang, ramai para abdi suburlah. Jauhkanlah beliau dari segala bencana, siksaan dan penyakit tidak dapat tidur. Bagaimanapun barang usahanya hendaknya berhasil baik, binatang-binatang lengkap semua, beliau dari sakit, dibuat awet muda. Dan lagi hendaklah semua yang disebut abdi setia baktilah mereka pada beliau. Yang menjadi sahabat beliau janganlah mereka itu menderhaka pada beliau; yang menjadi bini beliau hendaklah tetap setia sebagai isteri pada beliau. Di manapun beliau berada, janganlah dilakukan curi, curang, bunuh dan zina di situ. Dan lagi, hendaklah beliau bertemu dengan khalyanamitra, membangun bodhichita dengan maitri, menjadi pertapa pada dang hyang Ratnatraya, melainkan sentiasa teguh bersila dengan senang membangun tenaga, keuliten, pengetahuan tentang perbezaan semua sipakala dan pemusatan fikiran. Mudah-mudahan beliau memperoleh pengetahuan, ingatan dan kecerdasan dan lagi ketetapan mahasatwa badan manikam vajracarira yang sakti tanpa upama, kemenangan, dan lagi ingatan kepada kelahiran yang sudah lampau, indria lengkap, rupa penuh, kebahagiaan, kegembiraan, ketenangan, kata manis, suara Brahma, jadi lelaki kerana kekuatannya sendiri, hendaklah beliau memperoleh cintamaninidhara, memperoleh janmawacita, karmmawacita, akhirnya beliau mendapat anuttarabisamyaksambodhi.
Daripada terjemahan ini jelas pada kita bahawa bahasa Sanskrit yang tidak dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dikekalkan dalam bahasa asalnya.
2.2.1.3 Batu Bersurat Kota Kapur. Pada Batu Bersurat Kota Kapur perkataan/bahasa Melayu telah lebih banyak ditemui dan unsur bahasa Sanskrit semakin berkurang. Beberapa perkataan bahasa Melayu Kuno sebahagian telah memperlihatkan irasnya dan sebahagian lagi kekal digunakan hingga kini, seperti: abai, aku, batu, banyak, benua, beri, buat, bulan, bunuh, datu, dengan, di dalam, dosanya, durhaka, gelar, hamba, jahat, jangan, kait, kasihan, kedatuan, keliwat, kita, lawan, maka, mati, merdeka, mula, orang, pahat, persumpahan, pulang, roga, sakit, suruh, tapik, tambal, tatkalanya, tetapi, tida, tuba, ujar, ulang, ulu, dan yang. Imbuhan awalan ialah: ni-, di-, mar-, par-, ka-. Imbuhan akhiran pula ialah: -i dan -an.
2.2.1.4 Batu Bersurat Karang Brahi. Bukti bertulis yang terdapat pada batu bersurat ini merupakan salah satu batu bersurat terpenting, namun tidak banyak maklumat yang diketahui dengan pasti tentang bahasa Melayu Kuno pada batu bersurat ini.

Di samping batu bersurat yang telah dinyatakan di atas sebenarnya ada lagi batu bersurat yang agak penting diketahui, iaitu Batu Bersurat Pagar Ruyung (1356 M) di Sumatera Barat. Pada batu bersurat ini tertulis beberapa sajak Sanskrit dengan sedikit prosa Melayu Kuno dengan menggunakan huruf India dan satu lagi di Aceh yang dinamai Batu Nisan Minye Tujuh. Batu nisan ini bertarikh 1380 M dan ditulis dengan tulisan India, menggunakan bahasa Melayu, Sanskrit, dan Arab.
2.3 PERKATAAN MELAYU
Tidak diketahui secara pasti bilakah perkataan Melayu mulai digunakan. Dalam tulisan Cina (dahulu Tiongkok) ada didapati berita yang menyatakan bahawa suatu masa ada utusan yang mempersembahkan hasil bumi kepada Kaisar Tiongkok yang datangnya dari Kerajaan Mo-lo-yeu. Berita Cina ini diperkirakan ditulis sekitar tahun 644 (Masihi). Kerajaan Mo-lo-yeu ini dipercayai di daerah Jambi (di Pulau Sumatera bahagian Selatan) yang ada sekarang ini.
Perkataan yang hampir sama ditemui daripada keterangan seorang rahib Budha bernama I Tsing. I Tsing pernah singgah dan mendalami agama di Sriwijaya sebelum ia sampai di Benggala (India) untuk mempelajari agama Budha di Universiti Nalanda (675 - 685 M). Dalam salah satu catatannya ditemui perkataan Malayu. Terjemahan catatannya itu ialah: "Apabila I Tsing melawat Sumatera, dia menemui dua kerajaan yang besar, iaitu Malayu berpangkalan di Sungai Batang dan Sriwijaya berhampiran dengan Palembang.

Buku Cina lain yang ada mencatat perkataan yang hampir sama ialah buku Ta Dang Si Yi Chiu Fia Kao Cheng Zhuan. Di dalam buku ini terdapat perkataan Mo Lou Yu. Buku Hai Nan Chi Guai Nun Fa Zhuan terdapat perkataan Mo Lou YŸ (u terdapat dua titik).

Perkataan Wu Lai Yu terdapat di dalam buku Hai Lu Chu dan buku Zheng He Hang Hai Tu. Chen Chung Shin yang menulis buku Tong Nan Ya Lien Guo Zhi (Negeri-negeri di Asia Tenggara) menyatakan bahawa orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu mendapat namanya daripada perkataan Mo Lo Yu, tetapi orang Cina pada masa itu ada yang menyebutnya sebagai Ma Li Yi Er, Wu Lai Yu, dan Ma La Yu.

Perkataan Malayu juga tertulis di bahagian belakang sebuah patung yang ditemui di Padang Rocore di kawasan Sungai Batanghari (Sumatera Selatan) bertarikh 1286 M. Dan di dalam buku Sejarah Melayu perkataan Melayu dihubungkan dengan nama sebatang sungai, iaitu Sungai Melayu. Perhatikan petikan yang berikut ini: "Kata sahibul hikayat ada sebuah negeri di tanah Andelas (sekarang disebut Sumatera), Palembang namanya: Demang Lebar Daun nama rajanya, asalnya daripada anak cucu Raja Suran, Muara Tatang nama sungainya. Adapun nama Perlembang itu, Palembang yang ada sekarang inilah. Maka di hulu Muara Tatang itu ada sebuah sungai, Melayu namanya".

Harun Aminurrashid mengatakan bahawa "...bangsa yang bernama Melayu itu diam di sebuah kawasan anak sungai yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batanghari (kini Sungai Jambi). Di kawasan hulu Sungai Jambi itulah dahulu pada kira-kira seribu lima ratus tahun lebih, telah ada sebuah Kerajaan Melayu sebelum (ada dan) semasa terkenal Kerajaan Sriwijaya atau Palembang Tua .... Kerajaan Sriwijaya telah mengalahkan Kerajaan Melayu sekitar abad ke-7 M. Walaupun dari segi pemerintahan Kerajaan Melayu kalah, tetapi bahasa Melayu terus berkembang dan digunakan bersama semasa menggunakan bahasa Sanskrit, iaitu bahasa rasmi pemerintahan Sriwijaya. Malahan pada Batu Bersurat Kartanegara yang dijumpai di Sungai Langsat bertarikh 1208 Tahun Saka, ditemui perkataan Malayapura yang ertinya Kerajaan Melayu".

Bahasa Melayu ternyata tidak terkongkong di daerahnya sendiri (di sekitar Palembang). Sebuah batu bersurat yang ditemui di Gandasuli di Jawa Tengah bertarikh 832 M juga menggunakan beberapa perkataan/bahasa Melayu. Padahal Batu Bersurat Gandasuli ini ditulis dengan huruf Dewanagari, iaitu sejenis tulisan purba India Utara bagi penyebaran agama Budha (lihat lampiran 2). Demikian juga batu yang telah ditemui di Kedu (Jawa Timur) yang walaupun tarikhnya tidak diketahui dengan pasti namun bahasanya menyerupai bahasa Melayu Kuno ataupun sekurang-kurangnya dipengaruhi oleh bahasa Melayu.

Walaupun penemuan Batu Bersurat Kedukan Bukit (683 M) memperlihatkan tulisan yang digunakan ialah huruf Palava, ia tidak bermakna bahawa tidak ada tradisi tulisan sebelum itu. Sebelum orang India datang ke alam Melayu, di kawasan Nusantara ini telah dikenali tulisan atau aksara Lontara di Sulawesi Selatan, aksara Batak di Sumatera Utara, dan aksara Rencong di Sumatera Selatan (lihat lampiran 2).
Pada masa itu aksara Rencong ini digunakan untuk merakam cerita, pantun, atau yang sejenisnya. Setakat ini, aksara Renconglah yang dianggap sebagai huruf asli bahasa Melayu. Oleh kerana ia ditulis pada daun dan kulit kayu maka dengan sendirinya tulisan ini tidak dapat bertahan lama. Walau bagaimanapun, aksara Rencong ini kini masih dapat disaksikan di Perpustakaan School of Oriental and African Studies, London. Perhatikan pantun yang ditulis menggunakan aksara Rencong tersebut pada lampiran 2.

Berkenaan dengan aksara Batak atau Surat Batak yang disebutkan di atas, E. St. Harahap berpendapat bahawa orang Batak termasuk bangsa yang tua di dunia, sama tuanya dengan bangsa Assiria, Kaldea, dan Mesir Tua. Dengan demikian, tentulah aksara Batak, atau aksara Lontara mahupun aksara Rencong bukan peniruan daripada huruf India sama ada Brahmi, Palava, Dewanagari, atau aksara Sanskrit. Bandingkanlah aksara Lontara, Batak, dan Rencong di atas dengan aksara Brahmi, Palava, Dewanagari, dan Sanskrit. Walau bagaimanapun, pengaruh aksara India Kuno terlihat jelas pada aksara Jawa. Bandingkan bentuk beberapa aksara yang dibincangkan ini pada lampiran 2.
2.4 KESIMPULAN
Walaupun asal usul bangsa Melayu (dalam pengertian yang khusus) yang paling asal belum diketahui secara pasti tetapi pertumbuhan bahasa Melayu dapatlah dikatakan berasal dari Sumatera Selatan di sekitar Jambi dan Palembang. Kesimpulan ini dikemukakan berdasarkan beberapa alasan, iaitu:
  1. Bahasa Melayu tidak mungkin pecahan daripada bahasa Jawa kerana sifatnya berbeza. Perbezaan itu di antara lain ialah bahasa Jawa mempunyai peringkat penggunaan bahasa manakala bahasa Melayu, tidak. Jadi, tentulah bahasa Melayu bukan berasal daripada bahasa Jawa.
  2. Aksara Rencong ialah huruf Melayu Tua yang lebih tua daripada aksara Jawa Kuno (tulisan Kawi). Masyarakat yang telah memiliki kemahiran bertulis dianggap sebagai masyarakat yang telah tinggi peradabannya dan tentu telah mempunyai masyarakat yang berkurun-kurun lamanya. Bahasa Melayu Tua dan Bahasa Batak juga tidak sama. Hal ini terbukti tulisannya tidak sama. Jadi, bahasa Melayu tentulah bukan berasal daripada bahasa Batak, walaupun pada masa yang sama mungkin kedua-dua bahasa ini telah wujud.
  3. Kerajaan Sriwijaya merupakan sebuah kerajaan yang besar. Tidak mungkin sebuah kerajaan didirikan jika di daerah itu tidak ada penduduk asal yang ramai.
  4. Kerajaan Melayu pada waktu itu tentulah bukan seperti yang dimaksudkan seperti raja Melayu yang terdapat di Pasai atau di Melaka. Pengertian raja pada waktu itu ialah Ketua Kampung dan kerajaan itu bermaksud kawasan kampung. Tetapi tentulah kawasan kampung ketika itu sangat luas dan juga terdapat beberapa kampung lain di sekitarnya.
  5. Sehingga saat ini belum ditemui bukti sejarah yang lebih awal daripada Batu Bersurat Kedukan Bukit (di Palembang) yang telah menggunakan bahasa Melayu dalam persuratannya. Dan juga, belum ada huruf Melayu Kuno yang lain ditemui selain daripada aksara Rencong (di daerah Sumatera Selatan, aksara Rencong ini masih digunakan hingga abad ke-18).
  6. Bahasa Minangkabau ialah salah satu bahasa yang paling mirip dengan bahasa Melayu dibandingkan dengan dialek Melayu yang lain kerana sejak dahulu kala lagi daerah Jambi berdekatan dengan daerah Minangkabau. Oleh yang demikian, kedua-dua bahasa ini tentulah ada pertaliannya.
  7. Walaupun bahasa Melayu tidak sama dengan bahasa Jawa dan bahasa Batak (secara khusus) namun secara umum bahasa ini pada asalnya satu rumpun yang disebut rumpun bahasa Austronesia Barat atau bahasa Nusantara.
  8.  
Walau bagaimanapun, kajian selanjutnya perlu dilakukan untuk mengesahkan asal usul bangsa dan bahasa Melayu yang lebih terperinci, seperti rekonstruksi bahasa Melayu Purba dan juga kajian Leksikostatistik bahasa yang terdapat di benua Asia ini.
Zuber Usman. Bahasa Melayu sebelum dan sesudah menjadi lingua franca, 1976, m.s. 6.
Ismail Hamid. Kesusasteraan Melayu lama dari warisan peradaban Islam, 1983, m.s. 10.
Harun Aminurrashid. Kajian sejarah perkembangan bahasa Melayu, 1966, m.s. 7.
Ibid., m.s. 9-10 dan Nik Safiah Karim. et al. Tatabahasa Dewan, 1986. Jil. 1, m.s. 6.
Harun Aminurrashid, op. cit., m.s. 9-10.
Ibid., m.s. 10-11.
Ibid., m.s. 12.
Ismail Hussein. Sejarah pertumbuhan bahasa kebangsaan kita, 1984, m.s. 26.
Ibid., m.s. 8.
Ab. Ghani bin Abbas. "Bahasa Melayu Kuno dari bentuk dan bunyi". Di dalam Dewan Bahasa, 4(1): 10, 1960.
Obaidellah Haji Mohamad. Catatan-catatan dalam sejarah China mengenai negeri-negeri Melayu. Kertas kerja dibentangkan pada Persidangan Antarabangsa mengenai Tamadun Melayu, 11-13 Nov. 1986, Kuala Lumpur, 1986.
Shellabear, W.G. Sejarah Melayu, 1982, m.s. 16.
Harun Aminurrashid, 1966. passim., m.s. 4-7.
A. Samad Ahmad. Sejarah kesusasteraan Melayu I, 1966, m.s. 34.
Harahap, E. St. Perihal bangsa Batak, 1960, passim., m.s. 11-15.
Bahasa Melayu
Bahasa Melayu

m.s. 9-10 dan Nik Safiah Karim, Nov. 198
Artikel diambil dari:


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger